dry cleaningSUDAH menjadi adat berniaga, ada pasang surutnya. Adakalanya, peniaga itu berada di atas dan kadangkala mengalami kejatuhan pada musim-musim tertentu.

Semuanya disebabkan persaingan sengit antara peniaga dalam pasaran terbuka, yang menjadikan mereka berlumba-lumba dalam memberikan khidmat terbaik dan menawarkan produk berkualiti pada harga berpatutan.

Peniaga Bumiputera juga tidak terlepas daripada terkena tempias persepsi masyarakat yang mengatakan barangan yang dijual di kedai mereka tidak banyak pilihan dan mahal.

Malah, ada juga yang melabelkan peniaga Bumiputera ini menjalankan perniagaan dengan tidak bersungguh-sungguh dan hanya memikirkan keuntungan semata-mata.

Akhirnya ada di antara mereka terpaksa gulung tikar. Apa yang penting adalah cara bagaimana untuk memastikan peniaga Bumiputera terus kekal berjaya dalam perniagaan setaraf dengan bangsa lain.

Pelbagaikan kaedah saluran pemasaran

AOM Food Industries, pengeluar coklat Bumiputera jenama Grandeur menggunakan kaedah saluran pemasaran untuk mengkomersialkan produk.

Pemiliknya, Tengku Muazam Kamal berkata, syarikatnya tidak hanya bergantung pada jualan di kedai, kedai serbaneka mahupun pasar raya besar semata-mata seperti mana yang dilakukan oleh segelintir perusahaan kecil dan sederhana (PKS) lain.

“Ini adalah survival kami dalam menghadapi persaingan di luar. Kami turut memasarkan sendiri kepada syarikat korporat yang berminat membuat pesanan.

“Selain itu, kami juga terlibat dengan kontrak pengilangan dengan lima syarikat bagi mengeluarkan coklat jenama sendiri,” katanya.

Menurutnya, syarikatnya terpaksa berusaha keras untuk mengembangkan perniagaan memandangkan syarikat tidak membuat sebarang pinjaman daripada mana-mana institusi perbankan.

“Kalau kami tidak gigih berusaha, agak sukar mendapatkan semula modal pusingan untuk meningkatkan pengeluaran.

“Faktor ini menyebabkan kami sentiasa memikirkan cara untuk meningkatkan jualan walaupun terpaksa bersaing dengan pesaing lain dan jenama antarabangsa,” katanya.

Pada awal 2007, Tengku Muazam bersama isterinya, Aimilia Omar memulakan perniagaan secara kecil-kecilan di rumah dengan hanya bermodalkan RM100.

Kini, Grandeur boleh didapati di pasar raya besar dan bakal dibuka di KLIA pada masa akan datang.

Tidak terlalu fikirkan pesaing

Zamani Zakaria

Zamani Zakaria

BAGI Pengarah Adan Laundry, Zamani Zakaria, dia tidak terlalu memikirkan persaingan, sebaliknya lebih memfokuskan untuk mengembangkan perniagaan sendiri dan mengukuhkan pasaran.

“Kalau terlalu memikirkan tentang persaingan, kita tidak ke mana-mana sebab terlalu mengikut apa yang pesaing kita buat.

“Katakan kedai sebelah turunkan harga RM1, saya tidak akan berbuat demikian. Kita kena ikut kos yang kita tanggung. Lagipun, saya yakin pelanggan ada duit untuk membayar perkhidmatan disediakan, sama ada mereka berani atau tidak mencuba
perkhidmatan di kedai dobi,” katanya.

Menurutnya, industri perkhidmatan dobi layan diri di Malaysia, Adan Laundry merupakan satu-satunya pengusaha Bumiputera.

“Walaupun saya terpaksa bersaing dengan perniagaan bangsa lain, namun saya anggap pesaing saya sebagai kawan dan boleh berbincang dengan mereka.

“Yang penting, kita tidak terlalu bergantung pada subsidi kerajaan sebab ia tidak akan memajukan ekonomi peniaga,” katanya.

Menurutnya, antara punca perniagaan Melayu tidak mampu bertahan lama kerana pengusaha tidak fokus dengan perniagaan yang diusahakan.

“Ada yang baru memulakan  perniagaan dalam beberapa bulan, tetapi sudah mula buka perniagaan lain, sedangkan perniagaan yang lama itu belum tentu boleh kekal lama.

“Ia suatu yang tidak bagus untuk peniaga kerana apabila kita hendak berniaga, fokus perniagaan itu menjadi antara elemen penting,” katanya.

Zamani yang memulakan perniagaan Adan Laundry hanya dengan berguru menerusi Internet pada 2010 itu kini mempunyai 38 cawangan kedai dobi di seluruh Malaysia.