logo adanQUBAH Emas Resources melalui jenama francaisnya, Adan Laundry meluaskan rangkaian niaga dengan pembukaan cawangan kedai dobi baharu di Saujana Utama, Sungai Buloh.

Pengarah Urusannya, Zamani Zakaria berkata, walaupun Adan Laundry memasuki cawangan yang ke-37 namun syarikat itu amat menitik beratkan kualiti perkhidmatannya terhadap pelanggan.

“Kami tidak mengejar kuantiti francais, tetapi hendak mementingkan kepuasan pengguna supaya pelanggan berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan.

“Jadi, saya perlu memastikan semua francaisi Adan Laundry menyediakan perkhidmatan yang terbaik. Apabila francaisi memberikan perkhidmatan baik, ia  dapat menggalakkan pelanggan untuk membasuh baju di kedai mereka dan ini sekaligus menambah pendapatan mereka,” katanya pada sidang media selepas melancarkan majlis pelancaran cawangan ke-37 di Sungai Buloh, baru-baru ini.

Zamani berkata, Adan Laundry berhasrat membantu masyarakat negara ini untuk berniaga dan menjana keuntungan.

“Saya berharap francais di sini akan berjaya, seiring francais Adan Laundry di tempat lain,” katanya

Sementara itu, Pengarah Urusan Perbadanan Nasional Berhad (PNS), Datuk Syed Kamarulzaman Syed Zainol Khodki Shahabudin berkata, pihaknya akan sentiasa membantu  usahawan Bumiputera untuk membuka atau meluaskan perniagaan mereka.

Beliau berharap lebih banyak syarikat Bumiputera yang akan menonjol pada masa depan.

“Sehingga 30 November lalu, PNS sudah memberikan pembiayaan sebanyak RM41.45 juta kepada usahawan dan syarikat Bumiputera,” katanya.

Sumber: Sinar Harian Online