adan laundry pandan jaya

Sampai sekarang, Zamani Zakaria, 33, tidak dapat melupakan pesanan ayahnya, seolah-olah meng­anggap ia satu cabaran baginya untuk mengejar impian menjadi usahawan.

adan laundry sunway mentariAyahnya, Zakaria Hassim yang bekerja sebagai pe­ngawal keselamatan sekolah ketika itu bukan menghalangnya daripada bekerja, tetapi mahu anaknya memikir semasak-masaknya untuk menetap di ibu kota yang penuh pancaroba itu.

Ternyata segala penat lelah Zamani berbaloi apabila berjaya menjadi tauke kedai dobi ala antarabangsa Adan Laundry di Jalan PJU 10/3D, Damansara Damai, Petaling Jaya dan kini mempunyai enam cawangan di Dataran Otomobil Seksyen 15 dan Sek­syen 23 Shah Alam, Taman Wawasan 4 Puchong, Pandan Jaya, Indera Semporna, Kuantan dan Temerloh.

Selain memberi khidmat latihan kepada pengusaha dobi, beliau memberi peluang kepada usahawan Bumiputera yang berminat membuka kedai dobi melalui program pelesenan yang ditawarkannya. Mereka boleh menghubungi talian 0361488895/0361414745 untuk mendapatkan keterangan lanjut.

Menariknya anak ketujuh daripada 12 beradik ini tidak menggunakan sesen pun duit bank untuk memula dan mengembangkan perniagaannya. Beliau juga tidak pernah memohon pembiayaan kerajaan.

Penulis kagum usaha lelaki dua anak ini kerana dengan hanya bersekolah setakat tingkatan lima, beliau mampu membuka kedai dobi yang mendapat peng­iktirafan Woolmark, sebuah badan profesional dalam aspek penjagaan fabrik dari Australia.

Melihat konsep kedai dobi Adan Laundry di Damansara Damai, sepatutnya ia dibuka di penempatan kelas menengah dan mewah. Bagi Zamani, Adan Laundry menawarkan khidmat ‘eksklusif tapi murah’.

Katanya, Adan Laundry menggunakan sistem ‘Lagoon’ yang dibangunkan sebuah syarikat penyediaan mesin basuh bertaraf antarabangsa, sekali gus mendapat pengiktirafan Woolmark.

“Kami mengenakan bayaran berpatutan biarpun kedai dobi Adan Laundry nampak ala antarabangsa. Semua orang boleh menjadi pelanggan kami.

“Datanglah dan rasai perbezaannya. Setiap wang yang dibayar pelanggan, dihargai dengan khidmat terbaik.

“Falsafah kami perniagaan bukan semata-mata mengejar keuntungan dan wang bukan segala-gala–nya,” katanya yang memiliki perwatakan sederhana.

Bernikah dengan pe­ngedar produk kecantikan, Zaidatul Akhmar Ramly, 30, pada 2006, Zamani yang tidak gemar melepak di restoran mewah membuka kedai dobi pertama pada 2010 menggunakan mesin basuh domestik.

“Ia dibuka secara kecil-kecilan tanpa bantuan sesiapa. Kami cuma terfikir untuk membuka kedai dobi. Dalam tempoh enam bulan, kami membesarkan perniagaan dengan membeli mesin basuh baru memandangkan sambutan sangat menggalakkan,” katanya.

Tahun lalu, Zamani menyewa dua lagi lot kedai untuk mengubah kaedah pencucian kepada sistem ‘Lagoon’ bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan sebelum menambah dua lagi tahun ini untuk dijadikan pusat latihan dan kedai dobi layan diri 24 jam.

Daripada bekerja sebagai buruh binaan de–ngan gaji RM450 sebulan ketika berusia 18 tahun, beliau kini bukan saja memiliki sederet lima lot kedai dobi di Damansara Damai, tetapi juga bengkel membuat penyang­kut baju dan kilang sabun.

Tanpa mengikuti sebarang kursus perniagaan, beliau sebenarnya tidak merancang membuka kedai dobi ketika mencari pekerjaan di ibu kota.

“Memang tidak cukup gaji buruh binaan untuk hidup di Kuala Lumpur. Bagi mencari duit lebih, saya mengutip kotak dan tin kosong pada waktu malam. Biarpun nampak tidak berapa elok pekerjaan ini, menjual kotak dan tin kosong mampu menampung perbelanjaan saya.

“Saya kemudian bekerja sebagai penyelia di sebuah kilang plastik tetapi terus mengutip kotak dan tin kosong selain menjadi ejen jualan langsung hingga ke tahap pengurus.

“Untuk menambah ilmu pengetahuan, saya belajar mengendalikan komputer kerana waktu itu, semua anak muda digalakkan menceburi bidang terbabit,” katanya yang turut pernah menjual produk kecantikan bersama isteri di pelbagai tempat dan acara.

Dalam jangka panjang, Zamani merancang membuka dua lagi kedai dobi di Bukit Jelutong, Shah Alam, dan Sri Hartamas, Kuala Lumpur serta mempelbagaikan bisnesnya menggunakan jenama Adan, termasuk perniagaan kanopi, membuka restoran, pengangkutan dan pasar raya.

Bukan setakat itu saja, beliau turut bercita-cita melebarkan sayap ke Indonesia, Thailand dan Singapura pada satu hari kelak.

PROFIL:

Nama: Zamani Zakaria
Isteri: Zaidatul Akhmar Ramly
Anak: Muhammad Zuhri Ramadhan (6) dan Nur Aleesya Raihanah (4)

Pekerjaan: Pengarah Urusan Qubah Emas Resources Sdn Bhd (Adan Laundry), Adan Chem Trading dan Setia Maju Engineering Iron Works Sdn Bhd

Sumber : Harian Metro