TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu. Itulah peribahasa bagi menggambarkan usaha Zamani Zakaria, 34, yang berjaya mengusahakan kedai dobi sendiri walaupun tanpa kelulusan pendidikan tinggi.

adan-sinarSuatu ketika dahulu, anak kelahiran Teluk Intan, Perak itu pernah menjadikan sampah dan bahan buangan sebagai sumber rezeki sampingannya, namun kini beliau mempunyai rangkaian kedai dobi menerusi jenama Adan Laundry.

Empat tahun lalu, bapa kepada tiga anak ini hanya berguru dengan laman web Google dan juga laman video sosial YouTube untuk memulakan perniagaannya.

Menceritakan lanjut, Zamani berkata, beliau tidak pernah menyertai mana-mana kursus mahupun latihan atau bimbingan secara formal untuk membuka Adan Laundry.

“Saya kurang percaya dengan hanya mengikuti kursus perniagaan sehari, boleh menjamin perniagaan saya kekal sampai lima hingga 10 tahun akan datang sebab semuanya hanya teori.

“Sedangkan, ia tidak sama dengan praktikal yang sepatutnya kita lakukan untuk membuka kedai dobi ini,” katanya ketika ditemui di kedainya di Damansara Damai, Petaling Jaya.

Menurut Zamani, pemilihan nama Adan diambil sempena nama anak sulungnya, Mohd Zuhri Ramadhan.

“Selain itu, nama Adan dipilih kerana ingin mengekalkan ciri-ciri Melayu kerana kebanyakan perniagaan dobi sedia ada adalah milik bukan Bumiputera. Jadi, saya hendak tampilkan sedikit kelainan,” katanya.

Guna mesin basuh rumah

Pada awal perniagaannya, Zamani hanya mampu membeli tiga buah mesin basuh automatik yang digunakan di rumah dengan sebuah pengering industri.

“Masa itu, baru hendak mulakan perniagaan, mana mampu untuk beli mesin basuh yang harganya sehingga hampir mencecah puluhan ribu ringgit.

“Dari situ, saya belajar, rupa-rupanya kedai dobi tidak boleh gunakan mesin basuh rumah kerana tidak sesuai untuk basuh barangan yang besar seperti gebar (comforter).

“Selepas enam bulan, saya jual semua mesin basuh rumah dan beli dua mesin basuh industri dobi secara ansuran,” katanya.

Ketika itu, Zamani tidak mempunyai pekerja, sebaliknya beliau hanya dibantu isterinya, Zaidatul Akhmar Ramly, 30, untuk menguruskan kedai tersebut.

“Hanya kami berdua yang basuh, gosok dan keringkan segala pakaian dan item yang dihantar ke kedai kami.

“Setelah tiga bulan beroperasi, barulah kami mampu menggaji seorang pembantu untuk menolong kami di kedai dobi,” katanya.

Jika perniagaan dobi yang lain lebih selesa mengambil kontrak daripada mana-mana syarikat untuk menggunakan perkhidmatan dobi di kedai milik mereka, situasi sama tidak berlaku di kedai dobi milik Zamani.

Beliau lebih senang sekiranya pelanggan datang sendiri mendapatkan perkhidmatan di kedainya.

“Kalau kita ikat kontrak membasuh dengan mana-mana syarikat, nilai kontraknya sangat rendah.

“Bukan itu saja, bayaran yang akan diterima daripada pelanggan syarikat juga agak lewat, mungkin dalam dua atau tiga bulan sekali. Sukar untuk menghitung pulangan perniagaan kerana lambat mendapat bayaran,” katanya.

Miliki 16 cawangan pusat dobi

Walaupun pada awalnya hanya mampu menyewa sebuah lot kedai di Damansara Damai, Zamani kini boleh menarik nafas lega kerana perniagaan Adan Laundry semakin berkembang dan memiliki 16 cawangan seluruh Malaysia.

Selain di Damansara Damai, Adan Laundry ada cawangan di Shah Alam, Klang, Pandan Jaya, Puchong, Subang Jaya, Gombak, Puncak Alam dan Pahang.

Menurut Zamani, antara perkhidmatan disediakan ialah basuhan biasa, seterika, basuhan gebar, pengering, basuhan langsir dan permaidani.

“Untuk basuhan biasa, kami mengenakan bayaran berpatutan iaitu pada harga RM2 sekilogram (kg), RM1 untuk setiap kg perkhidmatan pengeringan, RM3 (lapik meja), RM3 (sarung kusyen) dan RM3 (langsir).

“Manakala, RM1 dikenakan untuk perkhidmatan seterika, RM8 untuk satu gebar dan RM1 bagi satu kaki persegi permaidani yang mendapat perkhidmatan di kedai kami,” katanya.

Bermula 2013, Zamani berkata, beliau membuka kedai dobi berkonsepkan layan diri yang beroperasi 24 jam.

“Ketika itu, memang kedai dobi layan diri mula dapat perhatian. Kami perlu ikut trend semasa untuk teruskan perniagaan.

“Kedai dobi konsep ini lebih menguntungkan kerana masanya lebih fleksibel bagi orang ramai untuk dapatkan perkhidmatan kami,” katanya.

Bekal sabun dan peralatan dobi

Selain kedai dobi, Zamani berkata, syarikat miliknya melalui Adan Chem Trading juga membekalkan sabun dan peralatan lain di lebih 200 kedai dobi seluruh Malaysia.

“Kami ada kilang sendiri di Rawang untuk pembekalan bahan cucian dan barangan dobi seperti penyangkut pakaian dan plastik,” katanya.

Penubuhan Adan Chem Trading pada 2012 kerana Zamani menyedari kurangnya pembekal barangan dobi dari kalangan Bumiputera.

“Kira-kira 95 peratus pengusaha kedai dobi biasa adalah orang Melayu, tetapi kira-kira 95 peratus pembekal barangan dobi seperti sabun bukan Bumiputera.

“Jadi kami buka Adan Chem Trading untuk bekalkan sabun dan peralatan dobi lain sebagai pilihan kepada usahawan dobi Bumiputera untuk mendapatkan bekalan untuk operasi kedai dobi mereka,” katanya.

Adan Laundry yang mendapat lesen francais pada 16 Januari lalu menyasarkan untuk membuka 30 cawangan seluruh Malaysia tahun ini, namun tumpuan lebih diberikan di sekitar Lembah Klang.

Sepanjang membuka kedai dobi, Zamani tidak mempunyai masalah permintaan pelanggan, sebaliknya berdepan masalah tenaga kerja.

“Sukar untuk tarik orang Melayu (kerja di kedai dobi). Kerajaan pula tidak benarkan kita ambil pekerja luar.

“Jadi, sekarang saya dalam perancangan untuk jadikan industri dobi ini sebagai kerjaya menerusi latihan yang dibimbing oleh Adan Laundry Training Centre,” katanya.

Zamani mengakui, bukan mudah mengecapi kejayaan seperti sekarang dan banyak risiko perlu dihadapi oleh pengusaha apa-apa perniagaan sekalipun.

Namun, beliau menasihatkan usahawan baharu supaya tidak risau dengan risiko perniagaan kerana ia akan menjejaskan keyakinan untuk terus berniaga.

“Kalau ingin berniaga, jangan terlalu lihat pada risiko, sebaliknya teruskan niat kita untuk berniaga. Kalau asyik dibayangi risiko, sampai bila-bila pun kita tidak boleh berniaga,” katanya.

Sumber: Sinar Harian