KUALA LUMPUR: Kerajaan menggalakkan supaya lebih banyak institusi kewangan menawarkan skim mikro francais kepada usahawan francais tempatan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) yang dibentangkan baru-baru ini menekankan kepentingan perusahaan kecil dan mikro.
Katanya, kerajaan berpuas hati apabila terdapat hampir 80 perniagaan francais mikro di Malaysia yang dilihat sejajar dengan sasaran kerajaan untuk memastikan semua peluang adalah terbuka untuk setiap rakyat.
“Sehubungan itu, langkah menawarkan skim mikro francais ini akan dapat membantu semua jenis perniagaan di setiap peringkat termasuk kumpulan berpendapatan rendah.
“Kerajaan mahu supaya semua usahawan baru menerima bantuan dan galakan yang mereka perlukan,” katanya. Beliau berkata demikian berucap pada perasmian Pameran dan Persidangan Francais Antarabangsa Malaysia (FIM) 2015 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, pagi ini.
Yang turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek dan Pengerusi Persatuan Francais Malaysia, Datuk Mohd Latip Sarrugi.

FIM kali ini disertai lebih 85 syarikat francais dari dalam dan luar negara antaranya Amerika Syarikat, Australia, Singapura, Indonesia dan Taiwan.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/61010