Zamani Zakaria

Zamani Zakaria

KUALA LUMPUR 13 Jun – Program francais tahunan terbesar, Pameran Francais Antarabangsa Malaysia 2015 (FIM) berjaya memenuhi sasaran untuk mendapatkan lebih ramai francaisi yang berpotensi.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati penganjuran pameran tersebut membuka peluang kepada orang ramai untuk memilih perniagaan francais yang tepat berdasarkan minat dan sasaran yang hendak dicapai dalam perniagaan.

Pengasas Adan Laundry, Zamani Zakaria, 35, berkata, pengetahuan masyarakat dalam bidang perniagaan berbentuk francais masih cetek dan dengan adanya pameran sebegini dapat membantu masyarakat untuk memahami bagaimana sistem perniagaan itu berfungsi.

“Masyarakat perlu tahu bahawa perniagaan francais tidak menjanjikan kekayaan, tetapi sistem yang dilaksanakan adalah penentu kejayaan sesebuah perniagaan itu.

“Oleh itu, mereka yang berminat untuk berniaga digalakkan datang ke program sebegini kerana saluran maklumat yang tepat dan lebih jelas dapat diperoleh di sini,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Pameran selama tiga hari yang akan berakhir esok itu menyaksikan penyertaan syarikat francais dari tujuh negara iaitu Amerika Syarikat, Australia, Singapura, Indonesia, Filipina, Korea dan Taiwan.

Sementara itu, Pengasas BM World, Mahreey Yap, 44, berkata, pameran itu bukan sahaja membantu mengukuhkan sesuatu jenama perniagaan kerana dalam masa sama juga dapat menyampaikan mesej-mesej tertentu kepada masyarakat yang menjadi objektif penubuhan sesuatu perniagaan.

“Sebagaimana BM World, matlamat kami adalah untuk menanam minat dan menggalakkan masyarakat supaya berbangga dengan bahasa ibunda iaitu bahasa Melayu.

“Itu adalah antara objektif mengapa syarikat kami diwujudkan, selain untuk mengajar cara-cara mengendalikan perniagaan kepada mereka yang betul-betul berminat dalam bentuk perniagaan francais ini,” katanya.

Dalam pada itu, seorang Pengasas Kgpkool, Shamsulbaha Aziz, 59, berkata, pelbagai faedah dapat diperoleh melalui program tersebut lebih-lebih lagi kepada syarikat kecil yang baru hendak bermula.

“Melalui bantuan program Transformasi Perniagaan di bawah Perbadanan Nasional Berhad (PNS), syarikat-syarikat kecil seperti kami berpeluang membuka francais sendiri, sekali gus menjadikan pameran ini sebagai platform untuk membina jenama.

“Bagi mereka yang berminat untuk membina perniagaan sendiri, halangan utama adalah tidak tahu di mana saluran yang tepat untuk mendapatkan pusingan modal dan khidmat nasihat.

“Justeru, program ini adalah medium terbaik untuk bertemu sendiri dengan pegawai PNS ataupun syarikat perundingan perniagaan bagi menubuhkan perniagaan ataupun merealisasikan cita-cita untuk menjadi usahawan,” katanya.

Sumber Utusan Online